ALOR SETAR: Seorang lelaki pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental telah bertindak membunuh dan membakar ibunya dalam satu kejadian amuk di rumah mereka di sebuah kampung di Jalan Tok Keling, Alor Setar pada pagi Ahad.
Susulan itu, suspek, 43 tahun telah ditahan pihak polis di hadapan rumahnya yang seterusnya dibawa ke lokap mahkamah pada jam 8.30 pagi sebelum perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah di Mahkamah Majistret bermula kelmarin hingga 9 Mac ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Siti Nor Salawati Saad, dalam satu kenyataan turut berkata, ibu suspek yang berusia 68 tahun ditemukan mati dalam keadaan terbakar di dalam rumah tersebut.
“Pihak polis menemukan satu mayat dalam keadaan terbakar di dalam rumah, dipercayai mangsa telah dibunuh.
“Hasil siasatan awal berdasarkan keterangan saksi, iaitu anak suspek yang berusia 14 tahun dan tinggal di rumah yang sama, mendapati bahawa kejadian berlaku antara pukul 7.00 hingga 7.30 pagi.
“Saksi mendengar pertengkaran antara ayahnya (suspek) dengan si mati, yang merupakan neneknya.
“Sebaik sahaja mendengar jeritan neneknya meminta tolong, saksi keluar dari bilik dan melarikan diri ke luar rumah untuk mendapatkan bantuan daripada jiran berdekatan.
“Beberapa jiran cuba melihat apa yang berlaku, namun mereka diancam oleh suspek, menyebabkan mereka terpaksa menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Sebaik polis tiba, lelaki tersebut berjaya ditahan,” katanya.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, untuk bedah siasat.
Sumber: RTM, Sinar Harian