Site icon TUHAU BAMBANGAN

Nasib mangsa-mangsa kebakaran akan diberi perhatian – Ketua Menteri

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bersama jabatan kerajaan dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan mengadakan perbincangan lanjut bagi membantu mangsa-mangsa kebakaran rumah di Kampung Cempaka, Likas, pada 1 Mac lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata sebagai kerajaan yang prihatin dan peduli rakyat, nasib mangsa-mangsa kebakaran ini akan diberi perhatian, terutama pada bulan puasa ini.

“Hari ini saya berkesempatan melawat mangsa kebakaran di Kampung Cempaka, Likas. Kita amat prihatin dan sebagai kerajaan peduli rakyat kita telah memberi bantuan kewangan sebanyak RM1,300 kepada Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa kebakaran iaitu sebanyak RM1,000 daripadanya adalah dari kerajaan negeri manakala RM300 lagi dari Kumpulan Yayasan Sabah.

“Kita berusaha memikirkan nasib mangsa-mangsa kebakaran ini dan kita faham terutama pada bulan puasa ini, mengenai ketidakselesaan dan kesusahan mereka. Sebab itu, kerajaan bersama pihak yang berkaitan akan berusaha mencari jalan yang terbaik untuk membantu mereka seterusnya.

“Selain bantuan kewangan, kerajaan turut memberi pelbagai bantuan lain seperti bantuan gas dan dapur dari Yayasan Kebajikan Sabah dan bakul makanan dari Kumpulan Yayasan Sabah,” katanya selepas melawat mangsa-mangsa kebakaran Kg. Cempaka, Likas, di Dewan Serbaguna Likas, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada awal pagi Sabtu lalu, seramai 511 orang mangsa daripada 91 keluarga kehilangan tempat tinggal semasa kejadian kebakaran di Kampung Cempaka, Likas baru-baru ini.

Sementara itu, sebanyak dua pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka untuk menempatkan mangsa kebakaran iaitu di PPS Likas yang menempatkan seramai 34 KIR membabitkan 200 penduduk manakala PPS Damai seramai 57 KIR dan 311 penduduk.

Pelbagai lagi pihak turut membantu memberi bantuan makanan antaranya Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM). Mangsa kebakaran juga telah menerima bantuan awal sebaik sahaja berdaftar di PPS iaitu bantuan bakul makanan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, pek makanan retort dan makan minum daripada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am.

Exit mobile version