Site icon TUHAU BAMBANGAN

Kawasan menjaja kotor, DBKK sita peralatan 4 penjaja tanpa lesen di tepi Jalan Punai, Likas

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menyita peralatan empat penjaja tanpa lesen yang menjaja di tepi Jalan Punai, Likas pada 26 Februari lalu menerusi satu operasi bersepadu DBKK bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM)

DBKK dalam satu kenyataan berkata, seramai 24 anggota terlibat dalam menjayakan operasi bersepadu ini yang terdiri daripada anggota PDRM, dan anggota DBKK daripada Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaan.

“Semasa operasi dijalankan, terdapat empat penjaja tanpa lesen yang dikenal pasti sedang menjalankan aktiviti menjaja di tepi jalan.

“Kesemua penjaja ini gagal menunjukkan lesen penjaja yang sah apabila diminta oleh pihak berkuasa dan hasil pemeriksaan turut mendapati bahawa tahap kebersihan di sekitar kawasan menjaja berada dalam keadaan kotor, dengan sisa-sisa air dan makanan yang dibuang ke dalam parit berhampiran.

“Susulan itu, DBKK telah melakukan penyitaan peralatan penjaja yang terlibat dan hasil sitaan telah dibawa ke DBKK untuk tindakan selanjutnya selain para penjaja turut diberi amaran keras agar tidak menjalankan aktiviti menjaja di kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Tambah kenyataan itu, DBKK memandang serius perkara ini dan akan meneruskan usaha pemantauan terhadap pematuhan penjaja yang menjalankan aktiviti perniagaan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.

“Pemantauan yang diadakan secara berkala ini bertujuan untuk memastikan kesalahan seperti ini tidak diulang di masa akan datang,” tegasnya.

Sumber: DBKK

Exit mobile version