KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan dan menegaskan kepada peniaga bazar Ramadan berkenaan larangan penggunaan peralatan yang bukan bertujuan untuk penyimpanan atau penyediaan makanan seperti akuarium dan tong sampah hitam.
KKM dalam satu kenyataan berkata, tindakan seperti menggunakan akuarium sebagai pengganti bekas air balang, tong sampah hitam untuk menyimpan bahan mentah, atau peralatan lain yang tidak sesuai boleh menyebabkan pencemaran makanan dan meningkatkan risiko kesihatan kepada pengguna.
“Makanan hendaklah diangkut dalam kenderaan yang bersih serta tidak bercampur dengan bahan kimia bukan makanan dan barangan lain yang tidak berkaitan.
“Selain itu, makanan dihidangkan dalam bekas yang bersih dan bertutup; sentiasa menggunakan penyepit, senduk, sudu atau sarung tangan yang bersih untuk mengendali makanan; lakkan menghidang makanan secara bertindih antara satu sama lain; sentiasa memakai pakaian pelindung iaitu apron dan penutup kepala yang bersih; tidak memakai barang kemas, jam tangan dan sebagainya yang boleh menyebabkan pencemaran ke atas makanan; tidak melakukan amalan-amalan tidak baik seperti menggaru kepala, bersin atau batuk ke arah makanan; membasuh tangan setiap kali selepas ke tandas dan mengendalikan benda kotor; dan tidak menjual baki makanan yang tidak terjual pada keesokan harinya,” tegasnya menerusi satu kenyataan pada Sabtu lalu (1 Mac).
Jelas kenyataan itu lagi, selaras dengan Akta Makanan 1983 serta peraturan-peraturan di bawahnya, KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) akan terus menjalankan pemantauan ke atas makanan yang dijual sepanjang bulan Ramadan bagi memastikan kepatuhan terhadap standard keselamatan makanan yang ditetapkan, termasuk di bazar-bazar Ramadan.
“Aktiviti pemantauan yang dijalankan di sepanjang rantaian makanan ini telah dimulakan sejak sebelum Ramadan meliputi pemeriksaan ke atas sumber bahan mentah, tempat penyediaan makanan, dan para peniaga yang telah dilesenkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Selain itu, pemeriksaan turut diperluaskan ke hotel yang menyediakan buffet Ramadan, premis pembekal bahan mentah, serta premis penyediaan ais bagi memastikan semua pihak yang terlibat dalam penyediaan makanan mematuhi piawaian kebersihan dan keselamatan yang ditetapkan,” katanya.