Site icon TUHAU BAMBANGAN

2 mangsa parah melecur dalam kebakaran 5 blok rumah pekerja di Penampang

PENAMPANG: Dua mangsa dilaporkan mengalami cedera parah akibat melecur selepas terlibat dalam satu kejadian kebakaran lima blok rumah pekerja di Penampang Baru petang tadi.

Dua mangsa terlibat itu termasuk seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun dan seorang wanita berusia 59 tahun.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian kebakaran itu pada jam 1.10 petang.

“Lapor kebakaran melibatkan lima blok rumah pekerja jenis tidak kekal dengan setiap blok 38 pintu telah terbakar 90 peratus dengan anggaran keluasan setiap pintu 20×15 kaki.

“Terdapat dua orang mangsa dilaporkan terlibat mengalami cedera parah melecur dan mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pasukan Bomba bertindak menjalankan operasi pemadaman menggunakan 2 aliran 300 kaki 3 pancutan sumber air dari Water Tanker.

Operasi dilaporkan terkawal pada jam 2.20 petang dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.30 petang.

Exit mobile version