Site icon TUHAU BAMBANGAN

SPRM tahan wartawan MalaysiaKini disyaki terima rasuah RM20,000

KOTA KINABALU: Seorang wartawan Malaysiakini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa menerima rasuah daripada ejen berurusan dengan pekerja asing, baru-baru ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, menafikan penahanan itu berkait penerbitan artikel portal tersebut baru-baru ini, yang mendedahkan kartel pemerdagangan warga asing.

Azam berkata, wartawan itu pada mulanya meminta RM100,000 daripada ejen terbabit sebagai balasan tidak menyiarkan dua artikel mengenai ejen dikatakan.

Beliau berkata, jumlah wang akhirnya dikurangkan kepada RM20,000.

“Ejen itu membuat laporan kepada SPRM, selepas itu kami menjalankan apa yang dipanggil ‘kes perangkap’.

“Ejen itu kemudian bertemu wartawan di sebuah hotel di Shah Alam, di mana wang tunai diserahkan kepada wartawan.

“Pegawai SPRM menahan wartawan itu di tempat kejadian dengan wang RM20,000,” katanya kepada MalaysiaKini.

Pada Sabtu, Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan permohonan SPRM untuk menahan remannya selama empat hari.

Kes disiasat bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Dalam pada itu, Pengarang Eksekutif Malaysiakini, RK Anand dan Pengarang Urusan ,Ng Ling Fong, terkejut dengan dakwaan melibatkan wartawannya yang berkhidmat sejak 2018.

Kata mereka, Malaysiakini belum mendengar penjelasan daripada wartawan tersebut, namun memberi jaminan tidak akan berkompromi atas sebarang salah laku.

“Malaysiakini juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa,” kata mereka.

Sumber: MalaysiaKini

Exit mobile version