Site icon TUHAU BAMBANGAN

Budak lelaki 4 tahun parah digigit sekumpulan anjing

LANGKAWI, KEDAH : Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun mengalami cedera parah di kepala, badan dan kaki akibat digigit sekumpulan anjing di Kampung Dede, Sungai Menghulu di sini, pada Sabtu.

Ibu mangsa, Nur Solehah Mat Hahir, 25, berkata, kejadian berlaku ketika Ahmad Raihan sedang bermain berhampiran rumah pada kira-kira jam 10.30 pagi.

“Sejurus kejadian itu anak saya dibantu orang ramai dan dihantar ke Hospital Sultanah Maliha (HSM) menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk menerima rawatan.

“Ketika kejadian saya tiada di rumah dan hanya mendapat makluman mengenai kejadian anak saya digigit anjing selepas diberitahu oleh seorang jiran, disusuli panggilan telefon oleh ibu saya.

“Buat masa ini anak saya sedang dirawat di HSM. Luka di kepala agak teruk, selain beberapa kesan gigitan anjing di badan dan kaki,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.

Nur Solehah berkata, laporan polis berkaitan kejadian itu turut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi pada jam 12.30 tengah hari, hari yang sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari mengesahkan menerima dua laporan berhubung kejadian kanak-kanak lelaki diserang anjing sehingga cedera parah.

“Mangsa adalah kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dan pihak HSM serta ibu mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu, hari ini.

“Ketika kejadian, mangsa dilaporkan dikelilingi dan diserang sekumpulan anjing berhampiran rumahnya,” katanya dalam kenyataan di sini, petang kelmarin.

Sumber: HMetro

Exit mobile version