Site icon TUHAU BAMBANGAN

Acara Car Culture ada kelulusan pihak berkuasa, dakwaan cetus huru hara tidak benar – PERMOS

KOTA KINABALU: Persatuan Permotoran Borneo Sabah (PERMOS) tampil menjelaskan bahawa program permotoran anjuran Car Culture (CULT) yang diadakan di tempat letak kereta di Fog Sang, di sini, tidak terlibat dalam aktiviti melanggar undang-undang.

Presidennya, Datuk Mohd Fadil Fathullah berkata, dakwaan penganjuran program tersebut mencetuskan huru hara adalah tidak seperti yang digambarkan.

“Mengulas kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Luyang berkenaan program tersebut baru-baru ini adalah acara santai ramah mesra antara semua ahli-ahli kelab permotoran di kawasan tersebut.

“Tidak ada sebarang aktiviti yang melanggar undang undang termasuk penggunaan tapak parkir tersebut telah mendapatkan kelulusan daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan juga permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya program dijalankan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berpendapat bahawa ia bukan sebagai faktor untuk pihak tertentu mengeluarkan kenyataan tanpa menyelidik terlebih dahulu.

“Acara yang dianjurkan adalah acara rasmi dan mengikut segala undang undang dalam permohonan tersebut sebelum acara itu diteruskan.

“Saya akan menyelidik perkara ini dengan teliti sebelum tindakan diambil di mana semua ahli persatuan saya juga sedia maklum bahawa mereka boleh diambil tindakan jika terdapat sebarang kesalahan atau aktiviti yang melanggar undang undang,” tegasnya.

Tambah Mohd Fadil lagi, program yang dijalankan oleh persatuan itu mendapat sambutan yang mengalakkan daripada golongan anak muda yang gemar dengan aktiviti permotoran

“Aktiviti ini dianjurkan bagi peminat sukan permotoran supaya mereka mengambil langkah bersukan secara sihat dan sudah tentu ini memberi kesan positif kepada masyarakat.

“Malah, menerusi program ini juga peserta menerima maklumat dalam perundangan jalan raya dan sekali gus menolak pandangan negatif daripada umum mengenai sukan permotoran ini,” katanya.

Semalam, Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang menggesa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) agar lebih berhati-hati dalam meluluskan sebarang cadangan penganjuran acara pada masa hadapan.

Setiausaha Politik kepada YB Phoong Jin Zhe, Chan Loong Wei, berkata pihaknya tidak menentang sebarang penganjuran acara di lokasi tersebut, namun acara yang dianjurkan mestilah sejajar dengan tujuan asal bangunan itu.

“Tempat letak kereta beritngkat ini dibina untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada penduduk serta orang awam. Sebarang acara yang diadakan di sini perlu mengambil kira kepentingan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menegaskan bahawa pihak DBKK tidak sepatutnya meluluskan acara yang boleh menimbulkan pencemaran bunyi atau gangguan kepada komuniti sekitar, terutamanya memandangkan lokasi bangunan itu yang berdekatan dengan kawasan kediaman dan komersial.

Exit mobile version