Site icon TUHAU BAMBANGAN

Ketua Menteri tidak merayu simpati, sebaliknya telus pastikan kesinambungan pembangunan Sabah – Nizam

Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor tidak merayu simpati seperti yang didakwa oleh ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, tetapi sebaliknya beliau (Hajiji) bersikap telus dan realistik dalam memastikan kesinambungan pembangunan Sabah.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pembangunan dan kemajuan negeri bukan sesuatu yang boleh dicapai dalam satu penggal, ia memerlukan kesinambungan dan kestabilan politik untuk mencapai kejayaan yang lebih besar.

“Inilah yang beliau tekankan, bahawa mandat rakyat adalah kunci untuk memastikan segala perancangan yang telah bermula dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Hakikatnya, di bawah kepimpinan Hajiji, Sabah telah menunjukkan kemajuan yang ketara, dan usaha ini perlu diteruskan tanpa gangguan politik yang hanya akan merugikan rakyat.

“Apa yang diperlukan Sabah sekarang bukan polemik tidak berasas, tetapi kestabilan dan kesinambungan kepimpinan yang telah terbukti berjaya,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Nizam berkata demikian bagi membidas kenyataan Bung yang mempertikaikan seruan Ketua Menteri agar rakyat terus memberi peluang kepada kerajaan negeri sambil menegaskan kenyataan (Bung) itu tidak berasas dan hanya bertujuan mengelirukan rakyat.

Tegas Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, fakta jelas menunjukkan bahawa di bawah kepimpinan Hajiji dan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), Sabah telah mencatatkan pelbagai pencapaian yang membanggakan.

“Antara pencapaian yang jelas adalah pada tahun lepas, Sabah telah menerima pelaburan berjumlah RM11.34 bilion, termasuk projek projek besar yang bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.

“Selain itu, hasil negeri juga meningkat secara signifikan, mencecah RM6.9 bilion pada tahun 2023, membuktikan kebolehan kerajaan negeri dalam mengurus ekonomi dengan baik.

“Sektor tenaga dan infrastruktur turut mendapat perhatian serius, dengan pelaksanaan projek solar hibrid dengan kapasiti 199mw , pembinaan stesen janakuasa hidroelektrik di Ulu Padas , pembinaan projek Battery Energy Storage System (BESS) yang berkapasiti 100 mw di Lahad Datu turut dilancarkan bagi memastikan semua tempat di negeri Sabah menerima bekalan elektrik yang lebih stabil,” jelasnya.

Justeru itu, Nizam berkata, usaha berterusan ini adalah bukti bahawa kerajaan negeri tidak hanya sekadar menabur janji, tetapi benar-benar membawa perubahan yang ketara kepada Sabah.

Exit mobile version