TAWAU: Seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun ditahan polis selepas bertindak agresif dengan menumbuk dinding rumah sambil mengugut seorang wanita dengan parang dalam satu kejadian di sekitar kawasan Kampung Saddani, Batu 2 Jalan Apas pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.40 petang apabila suspek tiba-tiba mengamuk tanpa sebab yang jelas, menyebabkan mangsa seorang wanita berusia 59 tahun berasa terancam dan segera membuat laporan polis.
“Ketika kejadian, suspek bertindak menumbuk dinding rumah wanita tersebut sebelum mencapai sebilah parang dan mengancam mangsa dengan kata-kata ugutan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, pada Jumaat.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), IPD Tawau berjaya menahan suspek tidak jauh dari lokasi kejadian kira-kira jam 3.40 petang, kelmarin.
Tambahnya, hasil semakan rekod, suspek mempunyai empat rekod berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang mengancam keselamatan orang lain,” katanya.
Ujarnya, pihak Polis menasihatkan orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kejadian jenayah bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di daerah ini terjamin.