TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan petang kelmarin selepas dipercayai cederakan anaknya serta mengugut untuk memukul seorang wanita dalam satu kejadian di sekitar perumahan Taman Semarak, Tawau pada 27 Disember tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek yang juga merupakan suami kepada mangsa seorang jurujual berusia 39 tahun yang dikatakan bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan permohonan cerai dan tuntutan fasakh yang dibuat oleh isterinya.
Menurutnya, suspek sering mengganggu mangsa sejak permohonan tersebut dikemukakan.
“Dalam kejadian terbaru, suspek bertindak agresif dengan mencekik anak mereka sebelum mengugut mahu mencederakan isterinya. Mangsa yang ketakutan segera membuat laporan polis bagi mendapatkan perlindungan.
“Bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan seorang lelaki warga asing berusia 40-an di sekitar bandar Tawau kira-kira jam 2.20 petang, kelmarin,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambah Jasmin, suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 dan 326A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.
“Polis memandang serius berkaitan kes keganasan rumah tangga dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang mengancam keselamatan ahli keluarga mereka,” katanya.