Site icon TUHAU BAMBANGAN

Suami gagal memotong, kereta terbabas masuk parit, isteri maut tercampak keluar

Gambar: PDRM & Bomba Sabah

KOTA KINABALU: Cubaan seorang suami berusia lingkungan 60-an untuk memotong gagal selepas kereta yang dipandu bergesel dengan kenderaan lain sebelum terbabas sendiri ke dalam parit dan mengakibatkan isterinya maut tercampak keluar dari kereta dalam kejadian kemalangan di Jalan Lintas, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, pihaknya menerima makluman daripada anggota Trafik bertugas mengenai kemalangan jalan raya yang melibatkan dua buah kenderaan yang berlaku berhampiran Restoran Starbuck Jalan Lintas pada lebih kurang jam 9.20 malam.

Katanya, siasatan awal mendapati pemandu Honda Accord yang dipandu oleh seorang lelaki yang berumur lingkungan 60-an bersama dengan tiga orang ahli keluarganya didalam perjalanan pulang ke rumah daripada Inanam dan menuju ke arah Petagas.

“Semasa pemandu kenderaan Honda Accord tersebut memandu di lorong tengah dan hendak memotong kenderaan di hadapannya dan ketika mula menukar ke lorong kanan terdapat kenderaan lain di hadapan lorong kanan tersebut menyebabkan pemandu kenderaan Honda Accord menekan brek dan masuk semula ke lorong asal.

“Walaubagaimanapun dengan secara tiba-tiba kenderaan dipandunya telah gagal dikawal dan mula hilang kawalan dan bergesel dengan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza yang dipandu oleh seorang lelaki yang berumur 40-an dan selepas itu kenderaan Honda Accord tersebut telah terbabas masuk ke dalam parit di sebelah kiri jalan.

“Akibat daripada kemalangan itu, tiga orang penumpang yang berada di dalam kenderaan Honda Accord tersebut telah tercampak keluar dan menyebabkan salah seorang mangsa iaitu isteri pemandu Honda Accord telah maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan telah disahkan oleh oleh pegawai perubatan yang bertugas,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, pada Isnin.

Tambah Kasim, hasil siasatan mendapati kemalangan adalah berpunca daripada kecuaian pemandu Honda Accord tersebut yang mana telah gagal mengawal kenderaannya dengan baik sehingga hilang kawalan lalu terbabas dan menyebabkan kemalangan serta kematian penumpang didalam kenderaan yang dipandunya.

Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memandu didalam keadaan berhati-hati dan patuh kepada peraturan lalulintas.

Exit mobile version