Site icon TUHAU BAMBANGAN

PKR Sabah beri bayangan akan ada perubahan kepimpinan di peringkat negeri seterusnya pimpinan Pengerusi PH Sabah

Datuk Seri Christina Liew, Pengerusi Biro Politik PKR Sabah

KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah memberi bayangan akan kemungkinan berlaku perubahan kepimpinan di peringkat negeri.

Pengerusi Biro Politik PKR Sabah, Datuk Seri Christina Liew berkata, dibincangkan semasa kongres khas parti itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Minggu lepas semasa kita ada kongres khas di Kuala Lumpur, kita sudah pun berbincang hal itu dengan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kita juga adakan perbincangan sesama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) dan Biro Politik kami.

“Tapi prosesnya masih berlangsung, jadi mohon bersabar, keputusan akan dimaklumkan kemudian,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Makan Malam MPN Sabah bersama Naib Presiden PKR, Nik Azmi Nik Ahmad di sini, semalam.

Christina yang juga Ketua PKR Bahagian Api-Api bagaimanapun tidak mendedahkan perubahan tepat akan berlaku, tetapi difahamkan, pertukaran kepimpinan PKR Sabah juga mungkin akan mempengaruhi perubahan kepimpinan dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) Sabah.

Pada 1 Disember lalu, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedict berjaya memenangi pemilihan jawatan Pengerusi PH Sabah dengan majoriti tiga undi menewaskan Christina yang memegang jawatan itu sejak 2017.

Ketika ditanya sama ada komponen PH Sabah yang lain dimaklumkan mengenai potensi perubahan kepimpinan itu, Christina berkata adalah menjadi tanggungjawab Ketua PKR Sabah atau Ketua MPN, Datuk Mustapha Sakmud untuk berhubung dengan ahli gabungan itu.

“Difahamkan Mustapha kini berada di luar Sabah,” katanya lagi

Exit mobile version