Site icon TUHAU BAMBANGAN

Polis gagalkan aktiviti pengedaran dadah dengan menahan 4 suspek termasuk warga asing bersama syabu bernilai hampir RM17,000

Gambar: PDRM Tawau

TAWAU: Polis berjaya menggagalkan aktiviti pengedaran dadah selepas menahan seorang lelaki dan seorang wanita tempatan serta dua warga asing disyaki terlibat kes dadah bernilai hampir RM17,000 di sekitar kawasan Bandar Tawau, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin dalam satu kenyataan baru-baru berkata, tangkapan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, IPK Sabah bersama pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), IPD Tawau kira-kira jam 10.15 malam itu, adalah hasil daripada tindakan susulan yang dijalankan pihak berkuasa.

“Pihak Polis juga turut merampas sebuah kunci kereta Perodua Bezza yang digunakan oleh suspek,” katanya.

Jelasnya, hasil siasatan awal keatas suspek lelaki dan wanita warga tempatan berusia antara 29 dan 35 tahun itu, berjaya mengenal pasti dan menjejaki dua lagi suspek di sekitar jalan Kalabakan, kira-kira awal jam 3.00 pagi semalam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua warga asing berumur lingkungan 20-an dan 40-an yang bekerja sebagai buruh ladang itu, menemui satu bungkusan plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat 503.70 gram yang dianggarkan bernilai hampir RM17,000.

Tambahnya, kesemua suspek bersama barang rampasan tersebut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ujarnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek lelaki warga asing tersebut positif dadah jenis syabu manakala kedua-dua suspek lelaki dan wanita warga tempatan itu negatif dari sebarang jenis dadah.

Polis kini sedang menjalankan siasatan bagi memastikan rangkaian pengedaran dadah ini dapat ditangani sepenuhnya. Tindakan berterusan ini adalah sebahagian daripada usaha polis dalam membanteras jenayah dadah di negeri ini, terutamanya di daerah Tawau.

Polis Tawau juga menyeru orang ramai untuk terus bekerjasama dalam memerangi jenayah mahupun dadah dengan menyalurkan maklumat kepada pihak Polis bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti di daerah ini terjaga.

Exit mobile version