RANAU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dilaporkan cedera dan lapan kenderaan turut terbakar dalam kejadian kebakaran sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal di Kampung Rapak pada Khamis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 11.01 pagi.
Katanya, seramai lapan anggota pasukan Bomba dari BBP Ranau telah dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 3 kilometer.
“Lapor kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal berkeluasan 40 x 40 kaki terbakar 100%.
“Kebakaran juga turut melibatkan beberapa buah kenderaan, iaitu 4 buah kereta dan 4 buah motosikal yang antara kereta yang terbakar adalah, Toyota Hilux, Dua buah Proton Saga dan sebuah Hyundai Sedan, manakala selebihnya adalah satu motosikal musnah 100% dan tiga motosikal terbakar 10%,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pasukan Bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran 200 kaki dua pancutan sumber air dari jentera dan pili Bomba.
“Turut dilaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun mengalami kecederaan dan telah dihantar ke Hospital menaiki Ambulans KKM bagi menerima rawatan lanjut.
“Manakala, kebakaran pula berjaya dikawal pada jam 11.30 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.57 petang,” jelasnya.