Site icon TUHAU BAMBANGAN

Sebarang percubaan pacu perpecahan pemimpin Sabah tidak akan berjaya – Dr. Jeffrey

Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan, Timbalan Pengerusi GRS merangkap Presiden Parti STAR Sabah

KOTA KINABALU: Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan menegaskan, sebarang percubaan untuk memacu perpecahan antara pemimpin di negeri ini yang berusaha membawa Sabah ke arah yang lebih baik tidak akan berjaya.

Jeffrey berkata, beliau malah akan tetap lebih komited untuk memupuk perpaduan, kestabilan politik, dan pembangunan berterusan Sabah.

“Saya menyeru orang ramai supaya berwaspada terhadap maklumat yang salah dan tidak terpedaya dengan penceritaan berniat jahat yang bertujuan menggugat kestabilan kerajaan negeri.

“Saya akan terus fokus untuk berkhidmat kepada rakyat Sabah dengan integriti dan ketelusan.

“Marilah kita maju bersama untuk Sabah yang lebih kukuh dan bersatu,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sementara itu, Jeffrey yang juga Presiden Parti STAR Sabah turut menyelar dakwaan dan tuduhan beliau bersubahat untuk menentang Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang tular di media sosial baru-baru ini. 

“Saya menyedari tentang video yang sedang tersebar di media sosial yang menuduh saya bersubahat menentang Ketua Menteri.

“Tiada konspirasi seperti itu yang wujud atau pernah wujud.

“Parti STAR Sabah dan saya telah memberikan sokongan penuh kepada Datuk Hajiji untuk menjadi Ketua Menteri pada tahun 2020 dan sejak itu sokongan kami tidak pernah goyah walaupun menghadapi pelbagai cabaran.

“Tuduhan itu adalah palsu, mengelirukan, dan bermotifkan politik. Saya percaya ia bertujuan untuk memecahbelahkan kami dan GRS serta rakyat Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN),” katanya.

Beliau pada masa sama, turut mengulas mengenai tangkapan skrin yang dirujuk, yang didakwa diambil pada 1 November 2024 dan menampilkan sebahagian perbualan yang dipetik di luar konteks, dan dijadikan sebagai sokongan palsu kepada tuduhan tersebut.

“Tambahan pula, tuduhan ini nampaknya disusun untuk seiring dengan tuduhan tidak berasas baru-baru ini terhadap kerajaan negeri Sabah, yang kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya percaya pihak berkuasa akan mendedahkan kebenaran pada masa yang sesuai,” tegasnya lagi.

Exit mobile version