KOTA KINABALU: Kecuaian seorang pemandu Perodua Myvi, iaitu seorang lelaki berusia 20 tahun menjadi punca kemalangan yang membawa maut terhadap pengguna jalan raya lain dalam kejadian kemalangan di Jalan Lintas, pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kenderaan berhampiran Maimunah Cybercity Jalan Lintas pada jam 5.45 pagi, kelmarin.
“Siasatan awal di lokasi mendapati kemalangan melibatkan dua buah kenderaan, iaitu sebuah kenderaan jenis Toyota Camry dan sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi di mana kemalangan melibatkan kes terbabas dan masuk ke arah laluan bertentangan dan berlaku perlanggaran.
“Siasatan lanjut mendapati sebuah kenderaan Perodua Myvi yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 20an yang datang dari arah Kobusak menuju ke Putatan.
“Apabila sampai berhampiran Speed Car Wash, Cybercity Jalan Lintas, pemandu Perodua Myvi yang cuba untuk membuat pusingan-U dengan secara tiba-tiba, kenderaan tersebut telah hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan di hadapannnya dan melambung ke sebelah jalan arah laluan yang bertentangan.
“Dalam masa yang sama, datang sebuah kenderaan Toyota Camry yang dipandu oleh seorang perempuan yang berumur 40an daripada arah jalan lurus iaitu daripada arah KKIA menghala ke arah Lido dan menyebabkan telah berlaku berlaku perlanggaran.
“Akibat daripada kemalangan tersebut pemandu kenderaan Toyota Camry telah mengalami kecederaan parah dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Tambah Kasim, hasil siasatan mendapati kecuaian adalah disebabkan oleh pemandu kenderaan Perodua Myvi tersebut yang cuai di dalam pemanduannya sehingga hilang kawalan lalu terbabas dan masuk ke arah laluan bertentangan dan merempuh pemandu kenderaan Toyota Camry tersebut.
Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati dan patuh kepada peraturan lalu lintas.