Site icon TUHAU BAMBANGAN

Kes bunuh pelajar KV Lahad Datu: pihak pendakwaan tutup kes lepas 25 saksi selesai beri keterangan

LAHAD DATU: Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes membabitkan 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun yang dituduh bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di Kolej Vokasional Lahad Datu (LD) pada Mac lalu, menutup kes itu selepas 25 saksi selesai memberi keterangan semalam.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif Nor yang mengetuai pasukan pendakwaan, memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Duncan Sikodol pihaknya menutup kes selepas pegawai penyiasat Asisten Superintenden Suddin Tjinke memberi keterangan.

“Dengan berakhirnya keterangan saksi pendakwaan ke-25, pihak pendakwaan menutup kes hari ini,” katanya pada akhir kes pendakwaan petang semalam, lapor TV3.

Beliau dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri.

Duncan kemudian memerintahkan semua pihak memfailkan hujahan bertulis pada 30 Disember ini manakala hujahan balas ditetapkan pada 6 Januari selain menetap tarikh 13 Januari sebagai tarikh untuk memastikan semua pihak memfailkan semua dokumen berkenaan.

Duncan bagaimanapun belum membuat keputusan sama ada membebaskan semua 13 tertuduh atau memerintahkan mereka membela diri.

Nur Nisla turut memaklumkan pendakwaan menawarkan 25 saksi kepada pihak pembelaan termasuk seorang pegawai kimia, dua doktor, jurufoto polis dan warden kolej terbabit sekiranya tertuduh diperintah membela diri.

Perbicaraan penuh kes itu bermula 19 November lalu dan antara saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan ialah pengarah dan warden kolej selain sepuluh pelajar (saksi mata) yang juga rakan sebilik mangsa serta penghuni asrama kolej terbabit.

Selain itu, turut dipanggil pakar patologi, pakar kimia, pakar forensik dan pegawai polis pada prosiding yang mengambil masa selama 12 hari.

Pada 13 Ogos lalu, semua 13 pelajar berusia antara 16 hingga 19 tahun itu dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini, atas pertuduhan membunuh Mohamad Nazmie di Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh dan Chen Wen Jye, sementara lima lagi masing-masing diwakili peguam Abdul Ghani Zelika termasuk peguam lantikan, Vivien Thien, Jhasseny P Kang, Kusni Ambotuwo dan Mohamed Zairi Zainal Abidin.

Exit mobile version