Site icon TUHAU BAMBANGAN

Flight AirAsia Tawau ke KL patah balik, enjin pesawat dilanggar burung

KOTA KINABALU: AirAsia Malaysia memaklumkan bahawa penerbangan AK5741 dari Tawau ke Kuala Lumpur yang berpatah balik ke Lapangan Terbang Tawau pada Sabtu lalu adalah disebabkan insiden burung melanggar enjin pesawat.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Datuk Kapten Chester Voo berkata, pesawat berkenaan terpaksa berpatah balik selepas berlepas disebabkan amaran teknikal dari salah satu enjinnya bagi mematuhi protokol keselamatan. 

Katanya, pesawat itu mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Tawau dan semua 177 penumpang serta kru turun dari pesawat tanpa sebarang insiden.

Pemeriksaan kejuruteraan kemudian mengenal pasti punca amaran dan telah diperiksa dengan teliti, diperbaiki, serta kembali beroperasi seperti biasa.

Penumpang dijaga dengan baik sepanjang situasi itu, dengan penerbangan gantian berlepas dari Tawau pada jam 9:58 malam pada hari yang sama.

Kesemua penumpang turut ditawarkan Pilihan Pemulihan Perkhidmatan, termasuk pilihan untuk menukar penerbangan secara percuma, kredit ke akaun mereka, atau bayaran balik penuh, serta baucar perjalanan sebagai tanda penghargaan tambahan.

“Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan kami. Juruterbang dan kru kami bertindak dengan pantas dan profesional, mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada pengendali lapangan terbang dan Kawalan Trafik Udara atas bantuan pantas mereka menguruskan situasi pelanggaran burung ini yang merupakan cabaran dalam industri penerbangan meskipun terdapat usaha mitigasi yang berterusan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam. 

Menurutnya, AirAsia bersama-sama dengan Malaysia Airports dan pihak berkepentingan lain, sedang giat menangani risiko pelanggaran burung melalui Program Pengurusan Hidupan Liar.

Katanya, inisiatif itu memberi tumpuan kepada mitigasi pelanggaran burung di kawasan panas yang dikenal pasti di lapangan terbang domestik, memperkukuh dedikasi syarikat penerbangan terhadap keselamatan operasi.

“Kami amat berterima kasih kepada para penumpang penerbangan AK5741 atas pemahaman dan kesabaran mereka semasa kejadian yang tidak diduga ini.

“AirAsia kekal teguh dalam mengekalkan standard keselamatan tertinggi bagi memastikan kesejahteraan penumpang dan kru kami pada setiap masa,” katanya.

Exit mobile version