KOTA KINABALU: Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah mengenal pasti beberapa pemuda yang berpotensi untuk diketengahkan sebagai calon muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Ketuanya, Datuk Jonnybone Kurum berkata, calon bagi kategori pemuda adalah mereka yabg berumur 45 tahun ke bawah.
“Jadi, maksudnya, calon kita sudah sedia dan tinggal kita minta pucuk pimpinan untuk mempertimbangkan sebaik-baiknya.
“Jumlah calon kita belum tentukan berapa, tapi memadai untuk saya katakan bahawa kami boleh tuntut mereka yang berumur 45 tahun ke bawah, itu adalah golongan pemuda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Pemuda GRS di sini, pada Ahad.
Jonnybone yang juga ADUN Telupid (PBS) memaklumkan bahawa satu jawatankuasa sudah pun dibentuk bagi tujuan pemilihan calon PRN akan datang.
“Baru-baru ini, kita adakan mesyuarat peringkat tertinggi GRS, ada satu jawatankuasa yang telah diarahkan untuk mengendalikan perkara ini untuk memperhalusi pemilihan calon-calon sesuai di semua 73 DUN.
“Jadi ini mungkin akan mula bergerak Januari tahun depan dan kemudian kita boleh muktamadkan keputusan dalam bulan April tahun depan, sesuai kerajaan kita habis penggal,” jelasnya.