Site icon TUHAU BAMBANGAN

“Desakan Hajiji letak jawatan Ketua Menteri, tidak adil, mereka (Pemimpin UMNO) yang patut meletak jawatan,” – Jeffrey pertahan Hajiji

Jeffrey pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pemuda GRS, semalam.

KOTA KINABALU: Desakan kepada Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri adalah tidak adil sama sekali, melainkan yang patut bertindak meletak jawatan adalah mereka (pemimpin UMNO) kerana terbukti sudah terpalit dengan beberapa kes rasuah.

Hal tersebut dinyatakan oleh Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan yang mempertahankan kedudukan Hajiji sebagai Ketua Menteri seterusnya mempertahankan kerajaan sedia ada, iaitu GRS PH Plus.

Jeffrey yang juga Presiden Parti STAR berkata, musuh politik kerajaan negeri seperti UMNO menggunakan taktik lama untuk memporak perandakan dan memecah belahkan pimpinan dalam GRS.

Beliau menyelar kenyataan UMNO Sabah yang membawa masuk nama beliau dalam isu desakan meletak jawatan terhadap Hajiji.

“Buat apa tarik nama saya ke sana? Kalau bukan tujuan untuk memecah belah dan untuk memporak perandakan pimpinan kita dalam GRS.

“Saya faham semua itu, sebab itu saya kata, kenyataan seperti itu (desakan meletak jawatan) sepatutnya tidak keluar dan yang sebenarnya perlu meletak jawatan adalah mereka sendiri.

“Kebanyakkan pemimpin mereka sudah disabit kesalahan, ada yang dalam penjara, dalam mahkamah, masih lagi merayu dan ada yang baru-baru kena masuk mahkamah, kena dakwa.

“Jadi ini boleh dikatakan, satu jari menuding ke arah kita, manakala empat jari lagi menuding kepada mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pemuda GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Jeffrey yang juga Presiden Parti STAR sekali lagi menegaskan bahawa desakan kepada Hajiji untuk meletakkan jawatan Ketua Menteri adalah tidak adil sama sekali kerana Hajiji tidak melakukan kesalahan.

“Beliau tiada pun didakwa, tiada masuk mahkamah dan hanya berasaskan kepada video-video yang sudah disunting.

“Ini sudah menjadi permainan mereka, kita tahu ini disengajakan untuk mencemarkan imej pemimpin kita.

“Oleh itu, marilah kita sokong perpaduan ini untuk pastikan rakyat Sabah bersatu dengan pemimpin dan semua parti mewajibkan kesatuan ini sebagai satu kewajipan,” tegasnya.

Exit mobile version