Site icon TUHAU BAMBANGAN

Isu tular video ADUN Sabah, lebih pada dendam, sakit hati ‘Whistleblower’ akibat Lesen Mencarigali dibatalkan Ketua Menteri

KOTA KINABALU: Pergerakan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dengan tegas menyifatkan isu penularan video skandal rasuah melibatkan beberapa ADUN Sabah dan Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) sebenarnya lebih kepada elemen ‘sakit hati’ dan dendam.

Ketua Pergerakan Beliawanis Gagasan Rakyat, Emmie Datuk Martin Idang berkata, elemen sakit hati itu timbul atas keputusan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor membatalkan Lesen Mencarigali (Prospecting Licence) selepas berjaya menghidu tindakan ‘Whistleblower’ yang cuba memerangkap beberapa ADUN Sabah.

“Keputusan yang dibuat secara pentadbiran ini dijadikan ’kuda tunggangan’ oleh sesetengah pihak yang ingin mengambil kesempatan untuk mendesak YAB ketua Menteri untuk membubarkan DUN lebih awal supaya Pilihan Raya Negeri ke-17 dapat diadakan lebih awal.

“Niat buruk ini hanya akan merugikan rakyat memandangkan Belanjawan Negeri Sabah 2025 baru sahaja dibentangkan di Sidang DUN yang lalu dengan menekankan berkaitan kebajikan dan kemudahan kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Emmie, sayap itu, sentiasa bersikap neutral dalam membuat pertimbangan apabila tidak mendesak mana-mana ADUN daripada Parti UMNO yang juga dalam proses penentuan keadilan oleh Mahkamah.

“Pada hemat kami, biarlah hukuman dan penentuan tersebut diadili dengan sebaiknya dengan prinsip ’innocent until proven guilty’.

“Jika, Pergerakan Puteri UMNO merasakan ada keperluan untuk YAB Ketua Menteri untuk meletakkan jawatan, mereka seharusnya mendesak Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin untuk terlebih dahulu meletakkan jawatan memandangkan pertuduhan telah dilakukan serta kes prima facie telah dibuktikan dan diperintah untuk membela diri.

“Berbanding tiada sebarang sabitan ataupun laporan kepada mana-mana pihak berkuasa ke atas YAB Ketua Menteri,” tegas Emmie menyelar kenyataan Ketua Puteri UMNO Sabah, Ummi Nabilah Jamal yang mendesak Hajiji untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri.

Tambah Emmie, desakan meletakkan jawatan Ketua Menteri itu adalah sangat tidak berasas dan bersifat mendahului siasatan pihak yang berwajib.

“Sayap Pergerakan Beliawanis berdiri teguh bersama pimpinan Parti PGRS yang secara terbuka dan sukarela untuk berkerjasama dengan pihak PDRM dan SPRM bagi memastikan siasatan rapat dijalankan secara telus dan tanpa campur tangan mana-mana pihak demi memastikan rakyat mendapat maklumat yang sahih dan tepat berkaitan proses siasatan yang sedang berlangsung.

“Di samping itu juga, Sayap Pergerakan Beliawanis ingin menyatakan dengan tegas bahawa kami menolak sekeras-kerasnya pendekatan politik yang digunakan oleh mana-mana parti politik sebagai alasan untuk melemahkan dan menjejaskan kelancaran pentadbiran Kerajaan demi kepentingan mana-mana parti politik.

“Hajiji sendiri dengan tegas dan terbuka telah mengarahkan agar pihak yang berwajib meneruskan siasatan dengan dibantu oleh ADUN-ADUN yang disebut oleh pihak yang yang dikatakan sebagai ’whistleblower’ ini,” jelas Emmie lagi.

Exit mobile version