Site icon TUHAU BAMBANGAN

Keluarga perlu cari RM35,000, kos bawa jenazah Olivia dari Korea ke Kampung Novoung, Papar

KOTA KINABALU: Keluarga mendiang Olivia Richard memerlukan dana sekurang-kurangnya RM35,000 bagi tujuan kos untuk membawa pulang jenazah Olivia dari Korea ke kampung halaman mereka di Kampung Novoung, Papar.

Mendiang Olivia, 46 tahun dilaporkan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di kediamannya di Hwamok-ri, wilayah Gyeongsang Utara, Rabu lalu dan jenazahnya kini berada di Hospital Andong Sungso.

Adik mendiang, Dora, 44 tahun memohon sumbangan orang ramai agar dapat membawa jenazah kakaknya yang juga merupakan seorang ibu tunggal.

“Memandangkan kami bukan dari keluarga yang senang, saya dengan rendah hati meminta tolong kerana mendiang juga seorang ibu tunggal yang mempunyai tiga anak berusia antara sembilan hingga 14 tahun,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat, memetik laporan Sinar Harian.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berhubung terus dengan adik mendiang di talian 019-8149558 atau boleh menyalurkan sumbangan ke akaun bank miliknya yang bernombor 1151 2109 0723 (Maybank).

Dora memaklumkan, mereka hanya mengetahui khabar duka itu selepas ditularkan menerusi kumpulan WhatsApp di kampung yang mengatakan kakaknya telah meninggal dunia.

“Sebenarnya kami tidak tahu pun apa yang berlaku sebab sehari sebelum kejadian saya ada berhubung dengannya melalui WhatsApp, tetapi tiada pula dia mengatakan dia sakit.

“Keesokan harinya, tiba-tiba saya dapat panggilan dari kampung sekitar jam 11 pagi selepas berita itu tular di kumpulan WhatsApp kampung.

“Saya kemudian berhubung dengan rakan serumahnya yang menguruskan mendiang di sana dan menurutnya, pagi kejadian mendiang sempat menghantar rakannya ke tempat kerja sebelum pulang ke bilik dan selepas itu dia ditemui tidak sedarkan diri,” katanya.

Tambah Dora lagi, mereka sekeluarga yang masih tidak mengetahui keadaan sebenar mendiang terpaksa bergantung harap dengan rakan serumah yang berada di sana.

“Setakat ini, jenazah mendiang masih berada di hospital selepas dibedah siasat namun kami di sini belum dimaklumkan punca kematiannya,” jelasnya.

Exit mobile version