Site icon TUHAU BAMBANGAN

Lelaki warga emas dikhuatiri hilang di sungai ketika melalui jambatan sedang dibina

KOTA MARUDU: Seorang lelaki warga emas dikhuatiri hilang di sungai ketika melalui jambatan yang sedang dalam proses pembinaan di Kampung Tambun sejak Ahad lalu (1 Dis).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pihak PDRM Kota Marudu mengenai insiden itu pada jam 11.30 pagi hari ini.

“Menurut maklumat dari Balai Polis, mangsa Pencen Gundiar@Pyron, 69 tahun keluar dari rumah pada Ahad (1 Dis) dan disedari tidak pulang rumah sehingga Selasa (3 Dis).

“Pasukan PDRM telah membuat pencarian awal dan mendapatkan maklumat dari orang awam, iaitu pekerja pembinaan jambatan Kampung Tambun yang menyatakan ada terlihat seorang melalui jambatan yang dalam proses pembinaan pada jam 4 pagi Isnin lalu (2 Dis),” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Pasukan Bomba di lokasi kejadian mengambil maklumat dan seterusnya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar mangsa dilaporkan hilang.

Operasi SAR dijalankan dari sungai tambun menyusuri sungai bandau dengan kaedah water surface menggunakan bot penyelamat.

Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Exit mobile version