Site icon TUHAU BAMBANGAN

IKMa komited sokong pembangunan koperasi dalam negara terutama dari aspek penggunaan teknologi AI

KOTA KINABALU: Institut Koperasi Malaysia atau IKMa amat komited dalam menyokong pembangunan koperasi-koperasi di Malaysia, terutama dari aspek penggunaan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI).

Ahli Lembaga Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Datuk Basari Sarkun berkata, IKMa berperanan sebagai fasilitator dalam membimbing koperasi ke arah penggunaan teknologi yang relevan dan berdaya saing.

Katanya, melalui pelbagai program pendidikan, latihan, dan khidmat bimbingan, IKMa menawarkan modul-modul yang dirancang khas bagi memberi kefahaman mendalam tentang aplikasi AI dalam operasi perniagaan koperasi.

“Di samping itu, kita juga menyediakan panduan dan platform untuk koperasi berkolaborasi dan berkongsi pengalaman dalam perjalanan transformasi digital ini.

“Dengan adanya sokongan ini, kita berharap agar lebih banyak koperasi berani meneroka dan memanfaatkan potensi teknologi AI dalam aktiviti perniagaan masing-masing. Ini penting untuk mempertingkat daya saing koperasi di persada domestik dan antarabangsa,” katanya ketika merasmikan Seminar Transformasi Perniagaan Koperasi melalui Adaptasi Kecerdasan Buatan (AI) di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau berkata, tahun 2024 menjadi tahun yang signifikan bagi IKMa, dengan pelaksanaan pelbagai program yang menyentuh aspek kesedaran, pendidikan, dan aplikasi AI.

“Antara inisiatif utama yang telah dilaksanakan oleh IKMa termasuk, Seminar Kesedaran dan Potensi AI dalam Koperasi di mana seminar ini bertujuan memberi pendedahan kepada pengurusan koperasi mengenai potensi AI dalam meningkatkan keberkesanan operasi dan daya saing perniagaan koperasi.

“Kedua, Bengkel Aplikasi AI untuk Peningkatan Produktiviti Koperasi yang mana dalam bengkel ini, peserta diperkenalkan kepada alat-alat AIpraktikal seperti automasi data, analitik ramalan, dan pengurusan hubungan pelanggan (CRM) berasaskan AI.

“Seterusnya, iaitu Latihan Pembangunan Keupayaan dalam AI Program latihan intensif ini dirancang khusus untuk melatih anggota koperasi dalam teknologi AI, termasuk pengenalan kepada analisis dan pemprosesan data.

“IKMa juga dalam usaha menjalinkan Kerjasama Strategik bersama Institute for Big Analytic and Artificial Intelligence (IBDAAI), UiTM dalam membangunkan platform analisis data dalam teknologi kewangan koperasi,” jelasnya.

Program terakhir katanya adalah Cooperative Digital Empowerment (CODE) Melalui CODE, sebanyak 40 koperasi dalam sektor pelancongan, peruncitan, pentadbiran, dan kewangan telah menerima bimbingan khusus untuk mendigitalkan perniagaan mereka, termasuk memperkenalkan teknologi (AI) dalam operasi mereka.

Untuk tahun 2025 pula sebanyak 60 koperasi disasarkan untuk menerima program bimbingan bersasar ini.

Justeru itu, beliau berkata, langkah-langkah ini adalah bukti komitmen IKMa untuk memastikan koperasi di Malaysia bukan sahaja kekal relevan, tetapi juga menjadi peneraju dalam ekosistem ekonomi yang semakin didorong oleh teknologi.

Pada masa hadapan, IKMa bercadang untuk memperluaskan lagi program-program ini dengan memperkenalkan modul baharu, meningkatkan jaringan kolaborasi dengan pemain teknologi, dan melibatkan lebih banyak koperasi di seluruh negara.

“Tidak dilupakan, Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), selaku universiti milik penuh IKMa juga merupakan satu lagi ‘entry-point’ khususnya dalam mempersiapkan pelapis kepimpinan koperasi yang kompeten dan professional dalam jangka masa panjang,” tegasnya.

Exit mobile version