Site icon TUHAU BAMBANGAN

DUN Sabah: 4,950 pelajar terima Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) pada tahun 2024 – Arifin

Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi

KOTA KINABALU: Jumlah penerima Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) bagi tahun 2024 adalah seramai 4,950 pelajar seluruh Sabah, kata Exco Pendidikan, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Arifin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, penajaan adalah dalam pelbagai bidang kursus pengajian termasuk bidang kursus Pendidikan, Kejuruteraan dan Teknologi, Sains Tulen, Sains Sosial, Perubatan, Sastera Ikhtisas, Teknologi Maklumat dan Sains Gunaan.

“Subjek jurusan yang diberi keutamaan untuk penajaan BKNS adalah terdiri daripada bidang STEM (Science, Technology, Engineering & Mathematic).

“Keutamaan kepada bidang ini merupakan salah satu inisiatif untuk membangunkan modal insan dan pemerkasaan bakat yang berkemahiran tinggi dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi,” katanya dalam sesi soal jawab dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan ADUN Liawan (STAR), Datuk Anwar Ayuub yang meminta penjelasan berapakah jumlah penerima biasiswa BKNS bagi tahun 2024 dan apakah subjek jurusan yang diberikan keutamaan oleh BKNS.

Dalam pada itu, Arifin yang juga ADUN Membakut (Gagasan Rakyat) berkata, pembelajaran dalam bidang ini dapat menyediakan pelajar untuk pekerjaan masa hadapan dan membolehkan mereka bersaing dengan pelajar lain di seluruh dunia sekali gus memberi impak yang tinggi bagi memenuhi kehendak masyarakat, komuniti dan negara.

“Selain itu, pembelajaran bersepadu STEM dapat melahirkan pelajar berliterasi STEM yang berupaya untuk mengenal pasti, mengaplikasi serta mengintegrasikan konsep STEM untuk memahami masalah dan menyelesaikannya secara kreatif dan inovatif yang mengaplikasikan konteks dunia sebenar dan menggunakan pendekatan hands-on dan penerokaan terbuka ke arah pembangunan ekonomi negara,” jelasnya.

Exit mobile version