Site icon TUHAU BAMBANGAN

Mungkin perlu bayar untuk dapat lesen memandu fizikal bermula tahun depan

Anthony Loke, Menteri Pengangkutan

KUALA LUMPUR: Orang ramai berkemungkinan perlu membuat pembayaran jika ingin mendapatkan lesen memandu berbentuk fizikal bermula tahun hadapan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan perkara tersebut ketika berucap di Dewan Rakyat pada Rabu.

“Awal tahun hadapan kita akan umumkan satu inisiatif kepada mana-mana pihak atau orang ramai yang ingin mencetak lesen mereka secara fizikal, mungkin mereka kena bayar untuk percetakan tersebut,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Jelasnya lagi, langkah itu dilakukan berikutan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) masih menerima rungutan daripada orang ramai yang mahu mencetak lesen memandu mereka.

Menerusi ucapan yang sama, beliau turut menyampaikan laporan pendigitalan lesen memandu setakat ini.

“Untuk makluman, aplikasi MyJPJ ini telah dimuat turun oleh 13.7 juta pengguna sejak dilancarkan tak sampai 2 tahun yang lalu. Manakala pendaftaran JPJ e-ID (sebanyak) 10.7 juta orang. Maksudnya sekarang ini sekurang-kurangnya lebih 10 juta pengguna yang telah menggunakan MyJPJ ini,” katanya.

Menurutnya, perkara ini menyokong agenda pendigitalan negara. Jumlah kutipan yang diperolehi menerusi MyJPJ berjumlah hampir RM121 juta.

“Dari segi penggunaannya, setakat ini transaksi pembaharuan cukai jalan ataupun lesen mereka telah mencecah lebih 1 juta transaksi.

“Jadi penggunaan dan juga dari segi membantu keberkesanan orang ramai dan juga jabatan, memang dilihat ada keberkesanannya,” katanya.

Beliau menambah, menerusi pendigitalan ini, penjimatan dapat dilihat dari segi percetakan lesen memandu dan cukai jalan.

“Dari segi pendigitalan ini, (kita) memang tidak akan toleh ke belakang. Kita akan terus melihat apa lagi penambahbaikan yang boleh kita buat supaya proses pendigitalan ini dapat diteruskan. Malah dapat menambah lagi keberkesanan jabatan kerajaan,” ujarnya.

Exit mobile version