Site icon TUHAU BAMBANGAN

Gara-gara cemburu, suami tikam isteri ketika sedang ‘live stream’ di Facebook

MEDAN, INDONESIA: Gara-gara cemburu, seorang lelaki bertindak menikam isterinya yang ketika itu sedang bersiaran langsung di aplikasi Facebook dan melakukan aktiviti karaoke bersama keluarganya pada malam Sabtu.

Tindakan lelaki tersebut dipercayai dipacu rasa cemburu terhadap mangsa kerana mendapat isterinya masih berhubung dengan bekas suami.

Menerusi satu rakaman berdurasi 32 saat yang tular di media sosial, suspek yang dikenali sebagai Agus Herbin Tambun datang dari arah belakang secara tiba-tiba kemudian menikam mangsa di bahagian dada dan perut sebanyak lima kali.

Setelah bertindak menikam isterinya, suspek turut dilihat menikam diri sendiri di bahagian dada beberapa kali sebelum dihalang oleh orang ramai.

Insiden itu turut disaksikan warganet yang sedang menonton siaran langsung tersebut serta ahli keluarga mangsa.

Setelah itu, suspek kemudian bertindak melarikan diri namun berjaya diberkas polis dalam tempoh kurang 24 jam setelah bersembunyi di rumah saudaranya.

Ahli keluarga mangsa kemudian membawa mangsa Hertalina Br Simanjuntak ke Rumah Sakit Chevani namun disahkan meninggal dunia.

Menurut laporan jurucakap polis, mangsa ditikam menggunakan pisau biasa yang digunakannya untuk memotong jeruk.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku perbuatan itu didorong rasa sakit hati dan cemburu kerana Hertalina masih berbaik dengan bekas suaminya,” katanya. – Agensi

Exit mobile version