PENAMPANG: Tular di media sosial baru-baru ini mengenai satu insiden kemalangan membabitkan seorang penunggang motosikal yang membawa motosikal tersebut secara melawan arus jalan di Jalan Kota Kinabalu – Papar berhadapan Kem Lok Kawi Putatan pada pagi Ahad.
Lelaki tersebut mengalami kecederaan selepas motor yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan sedan jenis Nissan Almera.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihak ibu pejabatnya telah terkesan sebuah video tular berdurasi 27 saat yang dimuatnaik di rangkaian media sosial yang memaparkan kejadian kemalangan tersebut.
“Hasil siasatan awal pihak polis di lokasi kejadian, mendapati penunggang motosikal yang ditunggang secara melawan arus bertembung dengan sebuah kereta.
“Akibat pelanggaran tersebut, penunggang motosikal telah mengalami kecederaan dan telah di bawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 untuk rawatan lanjut.
“Manakala, pemandu kereta sedan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Dalam pada itu, Sammy berkata, satu kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pihak polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan,” katanya.
Tambah beliau, orang awam turut dinasihatkan supaya tidak menularkan video tersebut bagi mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam dan menjaga sensitiviti keluarga mangsa.