KOTA KINABALU: Jasad seorang kanak-kanak perempuan ditemukan tersekat pada objek di dasar sungai selepas dipercayai lemas ketika melakukan aktiviti mandi manda dengan terjun ke dalam sungai dalam kejadian di Kampung Lokub, Sepanggar tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 1.03 petang.
Katanya, seramai 14 anggota pasukan Bomba dari BBP Kota Kinabalu dikejarkan ke lokasi dibantu oleh tujuh anggota dari unit PPDA Zon Kota Kinabalu bersama tiga anggota PBS Kampung Unggun Jaya.
Agensi lain turut bersama-sama dalam operasi itu adalah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan RTM.
“Menurut pemanggil, terdapat seorang kanak-kanak perempuan kurang upaya (OKU) berada di tepi jambatan telah terjun ke dalam sungai dan didapati kanak-kanak tersebut tidak timbul.
“Pasukan Bomba yang berada di lokasi kejadian mengambil maklumat dan seterusnya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan menggunakan kaedah surface resuce menggunakan bot penyelamat.
“Turut sama-sama membantu unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM Sabah yang menjalankan operasi dengan kaedah selaman,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Mangsa Indah Tawasil, 11 tahun berjaya ditemui pada jam 6.30 petang oleh pasukan penyelam unit PPDA yang tersekat pada objek di dasar sungai sekitar 25 meter dari lokasi mangsa dilaporkan terjun ke sungai.
Mayat mangsa seterusnya diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.47 petang.