KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mendedahkan bahawa sebanyak empat lagi kes positif Covid-19 yang melibatkan kawasan Parlimen telah dikesan pada Selasa lalu.
Ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas (2021) semalam, beliau berkata, atas sebab itu beliau cuba mengehadkan tempoh berbahas sehingga pukul 5.30 petang sahaja.
Lanjutan masa itu juga sebenarnya sudah jauh melebihi apa yang dicadangkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan (KP), Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, iaitu tidak melebihi pukul 2 petang.
“Saya nak terangkan sikit pasal masa ni. Kita pun telah tidak menuruti nasihat dan rekomendasi Tan Sri KP Kesihatan yang susah payah datang ke Parlimen beri penekanan. Kalau nak ikut nasihat beliau, kita sidang sehingga pukul 2 petang sahaja.
“Semalam dengan hari ni sahaja kita dah ada tiga atau empat kes. Semalam dengan hari ini. Jadi, risiko agak tinggi. Sebab itu saya tetapkan pukul 5.30 tu beri peluang kepada semua berbahas,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang mahu mengetahui sekiranya Speaker boleh melanjutkan masa perbahasan bagi memberi peluang kepada Ahli-ahli Parlimen.
Bagaimanapun, Azhar berkata, ia terpulang kepada Menteri bertanggungjawab untuk menentukan tempoh perbahasan bagi hari yang dimaksudkan.
Media sebelum ini melaporkan, dua Ahli Parlimen dikesan positif COVID-19, iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk – BN) dan Datuk Dr Mansor Othman (Nibong Tebal – Bersatu).
Beberapa lagi Ahli Parlimen pula terpaksa menjalani kuarantin kendiri selepas menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19.
Selain itu, setakat semalam, 12 petugas di Parlimen didapati positif, dan 58 lagi perlu menjalani kuarantin wajib.
Sumber: awani