Site icon TUHAU BAMBANGAN

Selepas 20 tahun, Ordinan Buruh Sabah kini diluluskan

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat pada Isnin lalu meluluskan Rang Undang-Undang Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024 bagi menyelaras undang-undang perburuhan di Sabah dengan Semenanjung.

RUU dibentang Menteri Sumber Manusia, Steven Sim diluluskan menerusi suara majoriti ahli Dewan Rakyat, selepas usul pindaan itu dibahaskan 10 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Sim berkata, pindaan ini mencipta satu sejarah tersendiri khususnya bagi lebih dua juta pekerja di Sabah yang akan turut menikmati kemudahan dan manfaat sama seperti dinikmati pekerja di Semenanjung.

Katanya, undang-undang yang dilaksana sebelum ini tidak pernah dipinda sejak 20 tahun lalu, sekali gus menyebabkan pelbagai manfaat diperoleh pekerja di Semenanjung, tidak dinikmati pekerja di Sabah.

“Pelaksanaan (kepada RUU ini kelak) adalah elemen mustahak dan penting. Kita akan menerapkan perhatian khususnya dalam mengangkat martabat dan maruah pekerja di Sabah.”Kita ada lebih 14 sesi libas urus bukan saja antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan, tetapi juga wakil pekerja dan kesatuan pekerja selain pernah dibangkitkan dalam mesyuarat MA63 (Perjanjian Malaysia 1963).

“Jadi tidak berbangkitlah bahawa pindaan ini (kononnya) tidak memenuhi semangat MA63,” katanya ketika menggulung RUU itu di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Sim berkata, RUU itu membabitkan 41 pindaan daripada peruntukan sedia ada serta memasukkan 23 peruntukan baharu dan memansuhkan enam peruntukan sedia ada.

Katanya, pindaan antara lain meliputi 70 fasal untuk menyelaras undang-undang perburuhan yang merangkumi tiga akta utama yang dikuatkuasakan di Semenanjung iaitu Akta Kerja 1955; Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990; dan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966.

RUU itu dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Julai lalu.

Antara perkara utama dalam pindaan itu membabitkan liputan pemakaian ordinan diperluas daripada pekerja bergaji RM2,500 ke bawah kepada semua pekerja tanpa mengira had gaji atau jenis pekerjaan.

Selain itu, tempoh cuti bersalin di Sabah dinaikkan daripada 60 hari kepada 98 hari, manakala cuti paterniti yang tidak diperuntukkan mengikut ordinan itu sebelum ini, kini diberikan kepada bapa sebanyak tujuh hari.

Pindaan turut membabitkan waktu bekerja yang dikurangkan daripada 48 jam seminggu kepada 45 jam seminggu, peruntukan baharu mengenai aturan kerja anjal, peruntukan aduan buruh paksa, penambahan bab baharu 11B tentang gangguan seksual serta yang berkaitan perumahan, penginapan dan kemudahan pekerja. – Berita Harian

Exit mobile version