Site icon TUHAU BAMBANGAN

KDM ramal GRS akan kalah pada PRN-17


PAPAR: Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony meramalkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan kalah pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Memetik laporan Jesselton Times, Peter berkata, ramalan itu berdasarkan pencapaian GRS yang kurang menyakinkan rakyat, terutama dalam menangani pelbagai isu penting termasuk masalah bekalan air, elektrik dan jalan raya.

“Percayalah GRS tidak lagi akan memerintah…GRS gagal…GRS akan kalah selepas PRN nanti.

“Walaupun parti kita KDM parti kerdil tidak seperti parti besar GRS kawan PAS ini, namun ia tidak melunturkan semangat parti kita untuk terus berjuang membuat pembaharuan demi masa depan rakyat yang lebih baik di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis pelancaranJentera Pilihan Raya bagi DUN Limbahau di Dewan Serbaguna Kampung Biau, dekat sini, hari ini.

Katanya lagi, parti itu juga akan meletakkan calon yang sesuai bagi mencabar pemangku presiden PBS di kerusi DUN Kundasang.

Katanya, KDM dijangka melancarkan jentera pilihan raya negeri dan manifesto seawalnya pada Disember tahun ini.

Beliau turut menggariskan beberapa agenda pembaharuan jika ditakdirkan parti itu berada dalam tampuk pemerintahan negeri selepas PRN.

Sementara itu, Peter berkata, KDM bertekad membina lebih banyak rumah untuk rakyat termiskin, memberi bantuan bulanan RM500 kepada individu berusia 60 tahun ke atas dan menambah jumlah biasiswa percuma yang ditawarkan kepada pelajar kampung yang kurang berkemampuan.

“Kita bersama kaum-kaum lain termasuk bumiputera Muslim dan Tionghua akan sama-sama berganding bahu bagi menjayakan agenda pembaharuan ini,” katanya.

Exit mobile version