Site icon TUHAU BAMBANGAN

Satu maut, dua cedera, Saga bertembung Viva di Flyover Tanjung Aru

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut manakala dua mangsa lagi mengalami kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan pertembungan dua kenderaan di Flyover Jalan Tanjung Aru pada malam Ahad.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian kemalangan itu pada jam 7.08 malam.

“Kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kenderaan jenis Proton Saga Aeroback dan Perodua Viva telah bertembung.

“Mangsa, Armada Said, 56 tahun merupakan pemandu Proton Saga disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan, manakala Rosko Ideong penumpang Proton Saga mengalami kecederaan.

“Sementara itu, Mohd Shahfiq Zulkiflie, 26 tahun pemandu Perodua Viva turut mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital oleh orang awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mangsa maut kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala penumpang Saga yang cedera telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I menggunakan jentera EMRS untuk diberi rawatan selanjutnya.

Operasi seterusnya ditamatkan pada jam 8.09 malam.

Exit mobile version