Site icon TUHAU BAMBANGAN

Wanita sakan berbelanja hasil seluk saku di Kota Marudu kini jadi buruan polis

KOTA MARUDU: Pihak polis kini sedang giat mengesan seorang suspek wanita berhubung kejadian seluk saku kemudian mengambil dompet mangsa di sebuah restoran di sini, pada Sabtu lalu (20 Julai).

Perbuatan wanita yang dipercayai berusia 40-an tersebut berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang tular sejak Jumaat lalu.

Anak mangsa turut menyiarkan resit dan bukti pembayaran yang dibuat suspek menggunakan kad bank mangsa pada hari berikutnya di laman Facebook menerusi akaun peribadinya.

Dakwa anak mangsa, kad bank ibunya telah digunakan untuk pembelian berjumlah lebih RM900 di beberapa kedai bersertakan wang tunai yang dicuri bernilai lebih kurang RM1,800.

Sementara itu, Polis Daerah Kota Marudu, Supt Zairolnizal Ishak berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada malam 20 Julai lalu.

Jelasnya, usaha bagi mengesan suspek sedang dijalankan dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Exit mobile version