Site icon TUHAU BAMBANGAN

Kes curi RM24.2 juta: 7 lelaki, 3 wanita didakwa jadi Ahli Kumpulan Jenayah Terancang

KOTA KINABALU: Seramai 10 individu membabitkan tujuh lelaki dan tiga wanita termasuk pengurus bank di dakwa di Mahkamah hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Sebelum ini, kesemua individu tersebut dipercayai terlibat dengan sindiket curi wang akaun simpanan tetap milik pelanggan yang dianggarkan bernilai RM24.7 juta.

Kesemua 10 individu yang tertuduh dilaporkan tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu pada kira-kira jam 8.22 pagi tadi.

Bagaimanapun, selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Amir Syah Amir Hassan, tiada pengakuan direkodkan dari semua tertuduh.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didapati menjadi ahli kumpulan jenayah terancang yang terlibat dalam kesalahan serius bagi faedah metarial kumpulan yang diketuai oleh Josepin J. Langkan dalam tempoh bermula 26 April 2024 hingga 1 Julai 2024.

Senarai tertuduh adalah, Josepin J. Langkan (dipercayai ketua), Vireonis Jonok yang masing-masing diwakili peguam Hairul V Othman dan Luke Ressa Balang.

Seterusnya adalah, Leong Hin Ping, Sugumaran a/l K. Ponniah dan Nasir Abdul Rashid yang diwakili peguam Dominic Chew. Manakala, Mazlani Jenuary, diwakili peguam Datuk Marzuki Spawi dan tertuduh Subramaniam a/l Thangavelu diwakili peguam Datuk Ram Singh.

Selain itu, Iren Chin Nyuk Thien diwakili oleh dua peguam, iaitu Mohd Al Hafidz Mohd Lokman dan Mohd Luqman Syazwan Zabidi. Seterusnya Christina@Caroline Pianus diwakili peguam Arthur Borine. Manakala tertuduh yang terakhir Hasran Magin tidak diwakili peguam.

Kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta574) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh akan dihukum penjara dalam tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi daripada 20 tahun.

Hakim seterusnya menetapkan 13 September 2024, jam 9 pagi untuk sebutan semula kes dan kesemua tertuduh ditahan sepanjang tempoh tersebut.

Pada Selasa lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya sebelum ini menahan seramai 14 individu berusia 26 hingga 63 tahun di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Manakala, pada 15 Jun lalu media melaporkan seorang kakitangan bank ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan wang dari akaun simpanan tetap melibatkan kerugian RM24.2 juta.

Ramli berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima empat laporan daripada pemilik akaun dan kakitangan bank awal Jun lalu di Petaling Jaya, Selangor apabila mangsa menyedari terdapat pengeluaran wang mencurigakan dilakukan secara tunai di Kota Kinabalu, membabitkan beberapa akaun simpanan tetap.

Exit mobile version