Site icon TUHAU BAMBANGAN

Jumlah KIR miskin tegar di Sabah catat penurunan hingga 76.1%

KOTA KINABALU: Jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar di Sabah setakat 30 Jun tahun ini mencatatkan penurunan sehingga 76.1 peratus.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pada 13 September 2023, seramai 22,510 KIR dan 94,315 Ahli Isi Rumah (AIR) merupakan locked figure dalam sistem eKasih bagi Program Menoktahkan Miskin Tegar di negeri ini.

“Setakat 30 Jun 2024, angka tersebut telah pun berubah kepada 5,379 KIR berstatus miskin tegar dengan penurunan sehingga 76.1 peratus,” katanya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.

Jelas Hajiji, seramai 17,131 KIR yang telah berubah status adalah disebabkan beberapa faktor di mana, 14,146 KIR didapati berubah status kepada miskin dengan jumlah pendapatan isi rumah antara RM1,218 sehingga RM2,742.

“Manakala, 2,093 KIR didapati telah berubah status kepada melebihi paras miskin dengan jumlaj pendapatan melebihi RM2,742, 477 lagi KIR didapati telah meninggal dunia tapi masih dalam senarai locked figure.

“Seterusnya, 394 KIR tidak dapat dikesan dan 21 KIR telah pun berpindah negeri,” jelasnya.

Sementara itu, Hajiji memaklumkan berdasarkan angka locked figure 22,510 KIR, hasil semakan bersama Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (JTU) juga menunjukkan bahawa seramai 3,531 KIR memiliki tanah bergeran.

Exit mobile version