INDONESIA: Seorang isteri yang juga anggota polis boleh dikenakan penjara sehingga 15 tahun kerana tindakannya yang membakar suami hingga maut, baru-baru ini.
Dilaporkan, si isteri bertindak membakar suaminya kerana berang dengan kegiatan suami yang menghabiskan duit gaji untuk berjudi.
Memetik laporan Medan Tribune, suspek yang berusia 28 tahun telah mengalami trauma akibat perbuatan yang dilakukannya.
Suspek yang mempunyai tiga cahaya mata termasuk kembar ditahan di Pusat Khidmat Bersepadu di Hospital Bhayangkara, Surabaya Indonesia agar dapat menjalankan tanggungjawab sebagai ibu kepada tiga anaknya yang masih kecil.
Suspek turut dibenarkan untuk memberi susu ibu kepada anak kembarnya yang baru berusia empat bulan.
Pada 9 Jun lalu, suami yang menjadi mangsa berusia 27 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital akibat kecederaan kesan terbakar dialami hingga 96 peratus.
Menurut laporan dari pihak berkuasa, kejadian dipercayai bermula selepas suspek mendapati mangsa menghabiskan gajinya untuk berjudi dalam talian hingga menyebabkan wang itu berbaki tinggal 800,000 rupiah (RM230).