Site icon TUHAU BAMBANGAN

Ibu bapa Zayn Rayyan dituduh abai anak

PETALING JAYA: Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin dituduh abai anak ketika didakwa di Mahkamah Sesyen di sini dengan kemungkinan menyebabkan kecederaan terhadap adik Zayn pada Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, ibu bapa Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf masing-masing berusia 29 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Pendakwaan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin, manakala peguam Fahmi Abd Moin dan Mahmud Jumaat masing-masing mewakili Zaim Ikhwan dan Ismanira.

Ibu bapa anak autisme, Zayn Rayyan ditahan reman pada 31 Mei lalu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 kerana membunuh.

Reman pasangan itu tamat hari ini.

Bagaimanapun, pagi tadi peguam Fahmi Abd Moin yang mewakili bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin berkata anak guam dan isterinya boleh didakwa atas pertuduhan selain di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh kanak-kanak autisme itu.

Pada 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Apartmen Idaman Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mangsa kemudian disahkan dibunuh berdasarkan hasil bedah siasat yang menemui kesan kecederaan pada leher dan badannya.

Exit mobile version