Site icon TUHAU BAMBANGAN

Palauh di Semporna bakar rumah sendiri, viralkan demi raih simpati netizen

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) menjelaskan isu kerja-kerja pengosongan, perobohan dan pembakaran rumah/pondok yang dibina di kawasan Taman Marin Tun Sakaran (TMTS), Semporna yang tular di media sosial baru-baru ini.

Menteri KePKAS, Datuk Christina Liew dalam kenyataan media hari ini berkata, satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Taman-Taman Sabah (TTS) dan Ketua Polis Daerah Semporna mengenai pengedaran Notis Pengosongan Kawasan TMTS telah diadakan pada 26 April lalu.

“Operasi pengedaran Notis Pengosongan telah dilaksanakan bermula dari 2 hingga 4 Mei 2024.

“Antara agensi yang terlibat adalah PDRM, Polis Marin, Pejabat Daerah Semporna, ESSCOM, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara dan Majlis Daerah Semporna.

“Notis telah diedarkan ke sebanyak 273 buah rumah penempatan tanpa izin yang dibina di dalam TMTS,” katanya menerusi sebuah kenyataan media di sini, hari ini.

Tambah kenyataan itu, kerja-kerja meroboh dan pengosongan penempatan tanpa izin ini telahdilaksanakan bermula pada 4 hingga 6 Jun lalu dan sebanyak 138 buah penempatan tanpa izin telah dirobohkan yang dibina dalam kawasan panas.

Manakala sejumlah rumah lain telah dirobohkan sendiri oleh pemilik-pemilik terbabit. Ada juga pemilik-pemilik yang meninggalkan rumah mereka begitu sahaja.

“Menurut sumber dari pihak PDRM yang terlibat dalam operasi ini, ada pemilik rumah telah bertindak membakar rumah mereka sendiri semasa ketiadaan pasukan OPS dalam kawasan tersebut untuk tujuan viral di media sosial dan meraih simpati serta perhatian dari netizen.

“Operasi ini dilaksanakan atas faktor isu-isu keselamatan diperingkat daerah, susulan insiden tembakan di Teluk Darvel dan juga kegiatan jenayah rentas negara di lokasi penempatan tanpa izin.

“Kedaulatan undang-undang negara yang berkuatkuasa dalam isu ini haruslah dipertahankan,” tegasnya.

Dari sudut pematuhan Enakmen Taman-Taman 1984, TMTS merupakan salah satu kawasan yang diwartakan sebagai kawasan TTS iaitu Taman Negeri.

Semua kesalahan dalam Enakmen Taman-Taman seperti menangkap ikan,membina strukur tanpa izin dan bercucuk tanam memberikan kuasa kepada TTS untuk mengambil tindakan seperti mana yang telah diperuntukan dalam Enakmen Taman-Taman.

Isu pembukaan hutan di Pulau Bodgaya untuk tujuan pertanian serta pembinaan lebih 200 buah struktur rumah tanpa izin adalah menjadi satu contoh pelanggaran terhadap Enakmen Taman-Taman.

Semua tindakan yang telah dilaksanakan ini telah dipersetujui oleh agensi-agensi yang berkaitan dalam beberapa sesi mesyuarat termasuk lapan wakil-wakil komuniti TMTS yang sah juga sebulat suara meminta agar komuniti tanpaizin dikeluarkan segera dari kawasan TMTS.

Exit mobile version