Site icon TUHAU BAMBANGAN

Remaja bakar anak kucing hidup-hidup ditahan & bakal didakwa hari ini

KAJANG: Seorang remaja lelaki yang disyaki membakar anak kucing hidup-hidup di parkir motosikal Flat Seri Kenari pada 22 April lalu telah ditahan polis Rabu lalu.

Difahamkan, remaja berusia 13 tahun itu ditahan berhampiran lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan mengesahkan penahanan remaja itu dan memaklumkan bahawa suspek akan didakwa di Mahkamah Juvana Kajang, pagi ini.

Terdahulu, media melaporkan bahawa polis sedang memburu tiga lelaki yang membakar anak kucing.

Mohd Zaid dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada seorang pengadu berusia 63 tahun.

Berdasarkan rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi mendapati terdapat tiga lelaki yang terbabit dalam kejadian itu.

“Suspek tiga lelaki dipercayai sedang melepak di tapak parkir berkenaan. Dua daripada suspek kemudian menyimbah dipercayai bahan bakar ke atas anak kucing dan salah seorang menyalakan api.

“Ketiga-tiga mereka hanya menyaksikan anak kucing berkenaan berlari dalam keadaan badan terbakar,” katanya.

Exit mobile version