Site icon TUHAU BAMBANGAN

Lelaki ditetak dua kali guna samurai dalam kejadian samun di Papar

PAPAR: Seorang lelaki tempatan mengalami cedera parah di kedua-dua belah tangan selepas dipercayai ditetak dengan pedang samurai dalam kejadian samun di tepi jalan masuk kawasan perumahan Melinsung Summer Bay Apartment, di sini, Rabu lalu. 

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa yang juga merupakan penjual sayur berusia 27 tahun dilaporkan patah tulang selain luka di kedua-dua belah tangannya.

Ketua Polis Daerah Papar, ACP Kamaruddin Ambo Sakka berkata, hasil siasatan awal mendapati, sebelum kejadian mangsa bersama tunangnnya baru saja selesai menghantar sayur ke Kota Kinabalu.

Katanya, mereka kemudian bergerak pulang ke Papar sebelum singgah di tempat kejadian untuk makan malam di sebuah restoran berhampiran.

“Mangsa bersama tunangnya parkir kenderaan mereka di tepi jalan sebelum berjalan ke kedai makan berhampiran.”

“Bagaimanapun, sebuah kereta Perodua Myvi tiba-tiba berhenti berhampiran mangsa sebelum seorang lelaki yang memegang benda tajam disyaki sebilah (pedang) samurai terus menyerang tunang mangsa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Jelas Kamaruddin, suspek yang memakai topi keledar dikatakan merampas beg silang milik tunang mangsa sehingga berlaku pergelutan antara mangsa dengan suspek terbabit.

“Mangsa ditetak sebanyak dua kali menggunakan pedang samurai dan menyebabkan kedua-dua tangannya cedera. Bagaimanapun, keadaan mangsa stabil dan telah di bawa ke Hospital Papar untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis.

“Mangsa turut kehilangan barang seperti beg yang mengandungi beberapa dokumen penting dan telefon bimbit, manakala suspek berjaya melarikan diri,” katanya.

Pihak polis kini sedang giat mengesan suspek terbabit dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 394/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan sehingga menyebabkan kecederaan parah.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak berjalan di kawasan gelap dan sunyi waktu malam selain perlu meletakkan kenderaan di kawasan terang serta memastikan kawasan persekitaran selamat sebelum bergerak ke mana-mana.

Exit mobile version