Site icon TUHAU BAMBANGAN

Keluarga miskin tegar, diutamakan kerja kilang simen di Tongod

KOTA KINABALU: Kilang simen dan klinker terbesar di Sabah yang dibina di Tongod akan memberi keutamaan kepada keluarga dan anak golongan miskin tegar dari sekitar daerah itu untuk diambil sebagai pekerja.

Pengerusi Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd (Borneo Cement), Datuk Masiung Banah, berkata perkara itu selaras dengan saranan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, supaya mengambil pekerja dalam kalangan keluarga miskin tegar.

Katanya, pembukaan kilang berkenaan bakal mewujudkan kira-kira 1,000 peluang pekerjaan bermula dari peringkat berkemahiran hingga kerja peringkat buruh.

“Jadi saya sebagai pengerusi bertekad akan memberi peluang sepenuhnya kepada orang-orang di sekitar sana (Tongod) untuk bekerja di kilang itu.

“Sebenarnya Ketua Menteri juga menyarankan kepada kita supaya pekerja yang akan kita ambil semua daripada keluarga atau anak-anak keluarga miskin tegar.

“Inila salah satu cara untuk kita bukan saja menoktahkan atau membasmi tetapi memerdekakan kadar kemiskinan yang ada di Tongod melalui peluang pekerjaan yang kekal lama,” katanya kepada media selepas Majlis Aidilfitri Bersama Media Tempatan dan Nasional, di sini, hari ini.

Sementara itu, Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah, berkata pembinaan kilang simen yang menelan kos RM1.2 bilion itu di Tongod mengambil kira ketersediaan bahan mentah yang diperlukan untuk pembuatan simen.

“Kenapa ia dibuat di Tongod, sebabnya di sana ada semua bahan mentah yang diperlukan iaitu klinker, batu kapur, tanah liat dan batu arang, semua ada di sana.

“Memang ada juga orang bertanya kenapa tidak dibuat di bandar dan biarkan saja bahan mentah itu diangkut dari hutan.

“Namun, saya ingat isunya sama saja, bila kita angkat bahan mentah itu ke Kota Kinabalu atau kita buat kilang di hutan, kosnya hampir sama, jadi lebih baik kita buat kilang yang betul-betul ada bahan mentah,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, itu berkata kilang simen berkenaan bukan saja boleh memberi impak ekonomi kepada negeri Sabah, malah rakyat di Kuamut, khususnya di Tongod dapat merasai limpahan sosio ekonomi yang dijana melalui kilang itu.

“Sebab, sekurang-kurangnya kerajaan akan sediakan elektrik, air, kemudahan jalan raya yg baik dan sudah tentu kampung yang berhampiran akan mendapat tempias hasil daripada pembinaan kilang itu,” katanya.

Masiung berkata, daripada RM1.2 bilion kos untuk membangunkan kilang berkenaan, RM700 juta daripadanya untuk pembinaan kilang, manakala selebihnya bagi pembinaan infrastruktur seperti jalan raya, elektrik dan air.

Exit mobile version