Site icon TUHAU BAMBANGAN

Tragedi mayat mangsa Covid-19 tepi jalan mengejutkan PM

Gambar: Bangkok Post

BANGKOK: Perdana Menteri, Prayut Chan-o-Cha menyuarakan kebimbangan dengan kes kematian mangsa Covid-19 yang gagal mendapat rawatan dan mengarahkan semua agensi mengatasi masalah berkenaan dengan kadar segera.

Dalam mesyuarat Pusat Pentadbiran Situasi Ekonomi (CESA, beliau meminta semua pihak mencari jalan untuk mengurangkan jumlah pesakit yang perlu menjalani kuarantin di rumah dan menunggu ambulans atau menanti di jalanan.

“Gambar seperti ini tidak boleh dilihat lagi. Ia adalah tanggungjawab semua agensi dan bukan hanya Kementerian Kesihatan semata-mata.

“Agensi yang terbabit perlu mencari cara untuk membawa pesakit ini ke hospital medan,” katanya seperti dilaporkan Bangkok Post.

Beliau membuat gesaan berkenaan selepas berlaku isu kelewatan membawa mayat yang dijumpai di jalanan di Phra Nakhon pada minggu lalu.

Mayat berkenaan yang ditutup dengan kain putih dilihat terbaring di jalanan selama hampir 12 jam sehingga menimbulkan kemarahan orang awam.

Lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Somkiat Ruenkao, 50, adalah seorang penjaga parkir didapati rebah sekitar jam 11 pagi.

Paramedik tiba tidak lama kemudian dengan oksigen dan cuba menyelamatkan lelaki berkenaan. Polis diminta menghubungi pakar forensik dari Hospital Vajira untuk memeriksa mayat.

Namun, mayat hanya dibawa ke hospital pada jam 10 malam untuk bedah siasat dan disahkan dijangkiti Covid-19.

Jurucakap polis berkata, pihaknya turut menerima laporan sekitar ham 6.30 petang mengenai mayat kedua, Seri Rueng­rojanarit, 59, yang dijumpai di Ratchadamnoen Avenue.

Pasukan forensik tiba pada jam 7.15 malam untuk memeriksa mayat dan ujian Covid-19 turut dilakukan setibanya di hospital.

Mayat ketiga dikenali sebagai Bangpot Jermjenkarn, 81, dijumpai di Sao Chingcha pada jam 7.30 malam dan forensik tiba pada jam 9 malam. Hasil ujian mendapati ia positif Covid-19.

Sementara itu, Bernama melaporkan, seorang gelandangan berusia 80 tahun menjadi mangsa terbaru Covid-19 yang dijumpai mati di tepi jalan berhampiran Victory Monument di Bangkok.

Media tempatan melaporkan bahawa pemeriksaan awal menggunakan kit ujian pantas mendapati mangsa positif Covid-19 dan mayatnya dihantar ke Hospital Ramathibodi untuk bedah siasat.

Sumber: HMetro

Exit mobile version