KUALA LUMPUR: Sambutan Ulang Tahun Perbarisan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Ke-90 yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini, dibatalkan dan digantikan dengan majlis tahlil serta doa selamat.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pembatalan sambutan itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sharafuddin Idris Shah yang juga Kapten Kehormat TLDM.
“Sambutan ini dibatalkan dan digantikan dengan tahlil dan doa selamat.
“Keputusan ini dibuat atas perkenan Sultan Selangor. Difahamkan, baginda juga akan mencemar duli majlis berkenaan,” katanya dalam sesi sidang media di Lumut, Perak semalam.
Dalam pada itu, beliau berkata, pengurusan jenazah nahas itu akan dibuat mengikut perancangan keluarga masing-masing, dibantu Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan TLDM.
Katanya, kementerian juga akan membantu membawa pulang jenazah yang berasal dari Sabah, selepas semua urusan berkaitan selesai.
“Kesemua jenazah nahas ini akan dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh di Perak bagi urusan bedah siasat.
“Setakat ini, keluarga mangsa yang menetap di Kota Kinabalu, Sabah sudah dibawa ke sini dan mereka akan terus ke Hospital Raja Permaisuri Bainun.
“Kementerian, ATM dan TLDM juga akan menyalurkan manfaat dan faedah sewajarnya kepada balu dan waris mangsa, selain berterima kasih kepada semua pihak, terutama pegawai dan kakitangan Hospital Lumut serta pegawai pemerintah dan kakitangan,” katanya.
Sumber: TV3