Site icon TUHAU BAMBANGAN

Data KIR miskin tegar di Sabah menurun kepada 42%

KOTA KINABALU: Ketua Isi Rumah (KIR) berstatus miskin tegar di Sabah setakat 31 Mac 2024 mencatatkan penurunan sehingga 42 peratus bersamaan dengan 12,555 KIR menerusi angka ‘locked figure’ di dalam sistem E-Kasih.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri telah menetapkan locked figure yang direkodkan dalam sistem E-Kasih bagi Program Menoktahkan Miskin Tegar di negeri itu yang melibatkan 22,510 KIR dan 94,315 Ahli Isi Rumah (AIR).

Namun demikian katanya, perubahan status akan berlaku dengan perubahan bilangan AIR, perubahan pendapatan, bantuan yang diterima atau ditamatkan serta perubahan maklumat lain seperti meninggal dunia atau berpindah ke negeri lain.

“Bagi penyelarasan program kemiskinan tegar di negeri ini, Kerajaan Negeri telah menubuhkan dua Jawatankuasa, iaitu Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Teknikal Menoktahkan Miskin Tegar bagi usaha menyelaras dan memantau Program Menoktahkan Miskin Tegar di negeri Sabah menjelang tahun 2024 ataupun 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi menjawab soalan Alias Sani (Warisan- Sekong) yang bertanya apakaj langkah kerajaan dalam usaha membawa Sabah keluar daripada kedudukan tercorot negeri miskin di Malaysia.

Sementara itu, Hajiji berkata, Program Menoktahkan Miskin Tegar di Sabah akan dilaksanakan secara berfasa, iaitu program jangka, pendek, sederhana dan jangka masa panjang.

“Program jangka masa pendek, merangkumi lima program, iaitu program MySMJ Profiling, MySMJ Kerja PBT, MySMJ Kerja DO, MySMJ Kerja GLC dan MySMJ Kerja Industri.

“Manakala, program jangka sederhana, melibatkan lima program, antaranya MySMJ Tani, MySMJ Mikro, Rumah Mesra SMJ, MySMJ Tour dan MySMJ Care. Bagi jangka masa panjang, terdapat dua program, iaitu MySMJ Modal Insan, dan MySMJ Teroka,” katanya.

Tambah Hajiji secara prinsipnya, bagi tujuan pemadanan atau intervensi bantuan yang bersesuaian kepada miskin tegar, program itu akan meliputi lima aspek utama, iaitu pekerjaan, keusahawanan, perumahan, pendidikan dan kebajikan.

Katanya lagi, setakat ini, sebanyak 27 agensi pemberi bantuan telah menyatakan komitmen dalam program itu yang teridiri daripada 10 kementerian negeri Sabah, 9 agensi kerajaan negeri, 7 agensi kerajaan persekutuan dan 1 pemain industri.

Exit mobile version