KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan terus melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Sabah jika cuaca panas dan kemarau terus-menerus melanda negeri ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, operasi itu akan dilaksanakan dari masa ke semasa sehingga dapat membantu mengurangkan masalah bekalan air di beberapa kawasan kritikal.
“Kita akan terus membuat pembenihan awan ini jika cuaca ini berterusan dan kita akan melakukannya dari masa ke semasa sehingga ianya boleh membantu mengurangkan bebanan bekalan air di beberapa kawasan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Kuih-Muih Hari Raya Aidilfitri kepada anggota keselamatan dan petugas kesihatan di Menara Kinabalu pada Khamis.
Hajiji bagaimanapun berkata, pelaksanaan operasi itu akan bergantung kepada keadaan jenis awan serta mengikut kepakaran pihak pelaksana.
“Ini kita tengok keadaan jenis awan itu, tidak semua awan itu boleh menurunkan hujan kalau kita buat pembenihan.
“Ini terpulang kepada mereka yang pakar dalam hal ini,” katanya.
Pada 28 Mac lalu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah melaksanakan OPA selama tiga hari di Sabah dengan menyasarkan tiga daerah yang terjejas kemarau termasuklah Papar, Lahad Datu dan Tawau.