KOTA BELUD: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambulion menerima sumbangan Van Koperasi dari Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi membantu meningkatkan lagi perkhidmatan koperasi sekolah ini selain mewujudkan pendapatan baharu.
Majlis penyampaian sumbangan van tersebut disempurnakan oleh Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata, pada tahun 2023, SKM telah meluluskan sebanyak RM270,000 bantuan pembangunan perniagaan kepada tiga buah koperasi di kawasan Kadamaian.
“Hari ini kita menyaksikan penyerahan sebuah Van Koperasi SMK Tambulion melalui Bantuan Sektor Peneraju Ekonomi Koperasi (PROSPEK) bernilai RM140,000 bagi membolehkan koperasi menjalankan aktiviti pengangkutan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Sekolah-Sekolah DUN Kadamaian dan Bantuan Van Koperasi Sempena Jubli Perak 25 Tahun Penubuhan SMK Tambulion di sini, semalam.
Dalam majlis sama, Ewon turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM50,000 daripada peruntukan khas menteri untuk menaiktaraf kemudahan dewan sekolah tersebut termasuk pendawaian elektrik, perolehan mobile aircond dan kelengkapan lain.
Katanya, kementeriannya menerusi SKM telah melaksanakan pelbagai program sepanjang tahun lepas dan menerima sambutan amat memberangsangkan.
“Melalui program-program yang dijalankan, masyarakat kini menyedari kepentingan berkoperasi dan menjadikan platform koperasi bukan sahaja tempat berniaga dan perkembangan ilmu pengetahuan tetapi diperluaskan sebagai penyatuan dan pembangunan ekonomi masyarakat,” katanya.