Site icon TUHAU BAMBANGAN

33 Sekolah di Kadamaian Terima Bantuan Persekolahan RM180,000

KOTA BELUD: Sebanyak 33 buah sekolah rendah dan menengah di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian menerima bantuan persekolahan berjumlah RM180,000.

Bantuan tersebut disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata, bantuan itu disumbangkan oleh Yayasan Bank Rakyat (YBR) yang merupakan agensi di bawah Kementerian Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

“Daripada jumlah itu sekolah menengah menerima RM10,000 setiap sekolah dan RM5,000 untuk setiap sekolah rendah, sama seperti bantuan awal persekolahan yang kita salurkan pada tahun lalu.

“Ini adalah kesinambungan tanggungjawab saya di kementerian dan sebagai wakil rakyat kawasan ini untuk terus memastikan pendidikan diberi perhatian sewajarnya selain memberi keutamaan kepada pembangunan keusahawanan dan koperasi.

“Selagi saya berada di kementerian, saya akan pastikan YBR akan meneruskan bantuan seperti ini dan batuan-bantuan lain untuk pelajar sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Sekolah-Sekolah DUN Kadamaian dan Bantuan Van Koperasi Sempena Jubli Perak 25 Tahun Penubuhan SMK Tambulion di sini, semalam.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, bagi menyelesaikan beberapa isu sekolah di kawasan Kota Belud khususnya di Kadamaian, beliau akan membawa Menteri Pendidikan untuk melawat beberapa sekolah di sini.

“Saya telah memilih SMK Narinang yang berhadapan dengan isu kesesakan pelajar dan memerlukan penyelesaian jangka masa panjang. Kemudiannya di SK Tamu Darat untuk penaiktarafan bangunan sekolah dan memerlukan penyelesaian kementerian, seterusnya di SRA Rangalau pada hari yang sama.

“Ini adalah penyelesaian dan komitmen saya untuk membawa perkhidmatan terbaik kepada rakyat kawasan ini dan mudah-mudahan dapat membuka ruang kepada penyelesaian yang lebih besar pada masa akan datang, sesuai dengan Pelan Pembangunan Kadamaian yang telah kita lancarkan dan jadikan sebagai panduan membangunkan Kadamaian,” katanya.

Selain itu katanya, beliau juga akan membawa Menteri Pelancongan Persekutuan dan Menteri Pertanian untuk mencari jalan penyelesaian isu-isu berkaitan pelancongan dan pertanian seperti aspirasi rakyat Kadamaian dalam Pelan Pembangunan Kadamaian.

Exit mobile version