Site icon TUHAU BAMBANGAN

Sentiasa pastikan tahap kebersihan Bazar terjaga

BEAUFORT: Peniaga Bazar Ramadan diingatkan untuk sentiasa memastikan tahap kebersihan bazar terjaga selain wajib mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam berkata, ia bagi memastikan juadah yang dijual dapat dinikmati oleh pelanggan dengan selamat tanpa membawa sebarang kemudaratan khususnya kesihatan. 

“Kita telah beramah mesra dengan peniaga Bazar Ramadan yang terletak di tapak Dewan Bagandang Majlis Daerah Beaufort dimana saya difahamkan ada lebih 200 gerai dibuka di sini. 

“Justeru itu, kita menyarankan para peniaga untuk sentiasa mengawal dan mengikuti segala arahan daripada pihak berkuasa untuk memastikan tahap kebersihan dan kualiti makanan sentiasa terjaga agar dapat dinikmati oleh pelanggan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke Bazar Ramadan di daerah ini, semalam. 

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, menerusi bazar itu, para peniaga juga dapat meningkatkan ekonomi harian mereka khususnya ketika berdepan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi pada masa ini. 

“Kita juga telah memberikan risalah sebagai panduan berbuka puasa dan juga imsak selain menyampaikan sumbangan kurma kepada para peniaga untuk mereka berbuka puasa,” katanya. 

Exit mobile version